Wednesday, August 8, 2012

MAKNA MENDERHAKA IBU BAPA

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Ustaz, saya ingin bertanya.
1) Wajarkah seorang anak menegur ibu yang melakukan kesalahan? Adakah itu dianggap derhaka?
2) Sekiranya seorang ibu yang membuat salah itu memarahi anak nya kerana tidak menurut apa yang dikehendakinya dan anak nye membantah sehingga berlaku pertengkaran adakah itu derhaka?
3) Sekiranya anak tersebut seorang perempuan dan telah berkahwin, bagaimanakah dosa anak perempuan tersebut?  adakah di tanggung oleh suami?
4) Sekiranya si anak banyak terasa hati dengan tingkah laku ibu nya dan membawa diri jauh dari ibunya, adakah itu dikira derhaka?
Terima kasih ya ustaz.

Jawapan;

Menderhakai dua ibu bapa merupakan dosa besar dalam Islam, malah di antara dosa-dosa paling besar. Di dalam hadis, Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Dosa-dosa paling besar ada empat;
1.      Mensyirikkan Allah
2.      Membunuh manusia
3.      Menderhakai dua ibu bapa
4.      Memberi kesaksian palsu
(HR Imam al-Bukhari dari Anas –radhiyallahu ‘anhu-)

Namun kita perlu memahami dengan baik apa yang dimaksudkan menderhakai dua ibu-bapa kerana ibu-bapa tidaklah sama seperti Allah dan Rasul yang tidak boleh dicanggahi arahan dan keputusannya. Dua ibu-bapa adalah makhluk dan mereka tertakluk dengan hadis Nabi; “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Khaliq (Tuhan pencipta iaitu Allah)”.

Menurut Imam Ibnu as-Solah; penderhakaan terhadap ibu-bapa yang diharamkan ialah semua jenis perbuatan yang menyebabkan dua ibu-bapa merasa sakit hati (perasaan kecewa) yang tidak sedikit terhadap anaknya, sedangkan perbuatan itu bukanlah dari perkara-perkara wajib (yang terpaksa dilakukan)” (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 1, bab Bayan al-Kabair wa Akbariha). Berdasarkan pandangan Imam Ibnu as-Solah ini kita dapat simpulkan bahawa yang dikatakan penderhakaan ialah apabila si anak melakukan perbuatan yang sengaja untuk menyakiti dua ibu-bapanya. Adapun jika ibu-bapa merasa sakit hati atau kecewa terhadap perbuatan si anak yang wajib perbuatan itu ia lakukan kerana untuk memenuhi tuntutan agama, tidaklah ia dianggap penderhakaan yang diharamkan oleh agama yang tergolong dalam dosa-dosa besar oleh hadis tadi kerana mentaati Allah lebih utama dari mentaati dua ibu-bapa.

Maka apabila si anak menegur bapa atau ibunya kerana suatu maksiat yang mereka lakukan yang mesti ditegur, lalu bapa atau ibu merasa marah atau kecewa, tidaklah si anak itu dianggap durhaka di sini agama kerana menegur/mencegah maksiat adalah dituntut oleh agama. Begitu juga, jika ibu-bapa meminta/mengarahkan si anak agar melakukan perbuatan dosa, munkar atau maksiat, lalu si anak menolaknya dan ibu-bapa rasa marah, tersinggung atau kecewa, tidaklah si anak dikira durhaka kepada ibu-bapa di sisi agama.

Diceritakan di dalam hadis bahawa, Sa’ad bin Abi Waqqas –radhiyallahu ‘anhu- apabila ia memeluk Islam dan diketahui ibunya yang masih kafir, ibunya telah telah mengadakan mogok lapar. Ibunya berkata; “Bukankan Allah memerintahkan supaya kamu berbuat baik kepada ibumu? Demi Allah, aku tidak akan makan sebarang makanan dan tidak akan minum sebarang minuman hinggalah sama ada aku mati atau kamu kembali kafir”. Lalu turunlah ayat Allah (bermaksud); “…dan jika mereka berdua (yakni ibu-bapamu) mendesakmu supaya engkau mempersekutukanKu dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka” (Surah al-‘Ankabut, ayat 8). (HR Imam at-Muslim, at-Tirmizi dan lain-lain. Lihat hadis ini dalam Tafsir Ibnu Kathir, surah al-‘Ankabut, ayat 8).

Dalam riwayat yang lain diceritakan; Saad berkata kepada ibunya tadi; “Wahai ibu, ketahuilah bahawa jika ibu dikurniakan 100 nyawa dan keluar nyawa itu satu demi satu dari ibu (kerana mogok lapar ibu itu), saya sekali-kali tidak akan meninggalkan agama ini kerana suatu tukaran pun. Jika ibu mahu, ibu makanlah. Jika tidak mahu, tak usahlah makan”. Akhirnya ibunya putus asa dan makan. (HR Imam at-Thabrani. Lihat hadis ini dalam Tafsir Ibnu Kathir).

Walau bagaimanapun, dalam menegur kedua ibu-bapa, si anak hendaklah beradap dan menggunakan bahasa yang elok. Tidak harus menengking atau bertengkar dengan ibu-bapa. Kewajipan si anak ialah memberikan teguran. Jika teguran tidak dindahkan, bukanlah lagi tanggungjawab si anak untuk memaksa mereka. Berdoalah kepada Allah agar Allah memberi hidayah kepada mereka. Begitu juga, tidak harus memulau ibu-bapa semata-mata kerana bercanggah pandangan dengan kita. Perhatikan firman Allah dalam surah Luqman (yang bermaksud);

“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…” (Surah Luqman, ayat 15)

Perhatikan dalam ayat di atas; Allah melarang kita dari memenuhi desakan ibu-bapa kepada kekufuran (mensyirikkan Allah), namun dalam pada itu Allah tetap memerintahkan agar kita bergaul dengan mereka di dunia secara baik. Berkata Imam al-Qurthubi –mengulas ayat di atas-; “Ayat ini menjadi dalil kepada tuntutan supaya mengikat hubungan dengan dua ibu-bapa yang kafir termasuk menafkahi mereka –mengikut yang terdaya- jika mereka miskin, bercakap lembut dengan mereka dan mengajak mereka kepada Islam dengan bahasa yang manis” (Tafsir al-Qurthubi, surah Luqman, ayat 15). Diceritakan dalam hadis bahawa Asma’ binti Abu Bakar, tatkala datang kepadanya ibunya yang masih kafir (musyrik) untuk mengikat hubungan, ia (yakni Asma’) bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, perlukah aku mengikat hubungan dengan ibuku itu?”. Nabi menjawab; “Ikatlah hubungan dengannya”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)
Jika terhadap ibu yang kafir kita masih disuruh agar berbuat baik dan tidak memutuskan hubungan, maka apatahlagi dengan ibu yang telah Islam, cuma tidak solehah sahaja. Kita wajib terus menjalinkan ikatan/hubungan dengannya dan pada masa yang sama kita membetulkannya sedikit demi sedikit dengan penuh hikmah. Kita melihat sikap Nabi sendiri, walaupun bapa saudaranya (Abu Thalib) tidak menerima Islam, Nabi terus berhubungan dengannya dan tidak pernah berputus asa mendakwahinya hingga akhir hayatnya (Abu Thalib).

Wallahu a’lam.

Jasad Firaun









Apa Sebabnya Jasad Firaun Terpelihara Sehingga Kini?
Saintis Perancis Memeluk Islam Setelah Mengkaji Penemuan Mayat Firaun Pada pertengahan tahun 1975.


Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.
 Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.
Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.
 Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain 
tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. 
Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis.
 Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, 
Prof. Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai
 pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. 
Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih 
melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan 
 dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.
Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. 
Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?
 Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden
 (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine).
 Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu 
Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.
 KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN.
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan
 ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru;
. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”
 Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. 
Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.
Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun 
dan kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal
 kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. 
Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya
Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.
 “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? 
Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini?
 Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun
. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah:
 “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri
 atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. 
(Exodus 14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. 
Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian
 mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam 
mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Yunus: 92)
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh.
 Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan
 satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan,
 beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata
: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”
 Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke
 Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan 
buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah 
diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu 
The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai 
Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
 “Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi
 al-Quran benar-benar kalam Allah.